"SINGAPURA: Dari Ayam Buah Keluak Risotto dan Mi Siam Mamak hingga ke Roti Kirai dan 'Chilli Crab', hidangan bufet di restoran Permata Singapore jelas memikat selera dengan pelbagai hidangan berbilang etnik yang menggambarkan keunikan landskap kulinari Singapura sepanjang bulan Ogos ini.
Sempena meraikan Hari Kebangsaan bulan ini, sajian makanan jalanan yang menjadi kegemaran warga Singapura menjadi daya tarikan di restoran di Gedung Kuning, yang terletak di 73 Sultan Gate.
Lebih menarik lagi, kesemua hidangan yang dipilih khas oleh pengarah kulinari Permata Singapore, Cef Mel Dean, dapat dinikmati dengan tawaran '1-for-1', di mana seorang pelanggan makan berbayar manakala seorang lagi makan percuma!
Semasa ditanya BERITA Mediacorp hidangan menarik sempena bulan Ogos ini Cef Mel menyenaraikan Laksa Kesum Cakerawala, Mi Siam Mamak dan Ayam Buah Keluak Risotto.
"Dengan menggabungkan rasa Ayam Buah Keluak dengan tekstur berkrim risotto, kami menawarkan gabungan penuh harmoni antara tradisi dan inovasi, yang sempurna bagi menyambut Hari Kebangsaan Singapura dengan sentuhan berbeza.
"Kami yakin setiap hidangan dalam menu 'Flavours of Singapura' akan meningkatkan pengalaman kulinari bagi para tetamu kami dengan memberi mereka kenangan indah dan menyeronokkan melalui kepelbagaian dan kekayaan rasa makanan Singapura."
6 STESEN MAKANAN
Hidangan bufet berbilang etnik sepanjang bulan ini menampilkan enam stesen makanan dengan beraneka pilihan.
Stesen makanan pertama 'Kota Laksmana' menampilkan makanan laut sejuk dan stesen salada, yang boleh dilengkapi dengan pelbagai jenis sambal seperti sambal hijau, sambal belacan dan sambal balado bagi mengiringi Kerabu Raden Ayu, rojak dan ulam-ulaman.
Stesen kedua iaitu 'Pembuka Selera' pula menyajikan Laksa Kesum Cakerawala, pakora dan jemput-jemput bawang.
'Stesen DIY' menjadi stesen ketiga yang membolehkan pengunjung membuat sendiri kuih Pie Tee. Pengunjung juga boleh mengambil sendiri mi siam mamak, sup kambing roti kirai serta kari kentang.
Ini mungkin stesen kegemaran ramai - Medan Bakar Sang Nila Utama! Stesen keempat yang hanya disediakan bagi bufet jamuan malam itu, menyediakan santapan mata dan rasa melalui botok botok ikan siakap, 'Chargrilled Striploin' dengan sos lemak cili padi, udang BBQ, ayam tandoori dan sate.
Stesen 'Sri Paduka' pula menghidangkan pelbagai sajian utama seperti makanan Peranakan, Melayu, India dan Cina.
Pengunjung berpeluang merasakan keunikan Ayam Buah Keluak Risotto serta beraneka makanan kegemaran warga Singapura - tulang merah, nasi lemak, nasi ayam, 'carrot cake', laksa goreng dan Roti John!
Stesen keenam pula membolehkan pengunjung menutup jamuan di stesen pencuci mulut, iaitu 'Manisan' seperti sajian ais kacang, pengat durian, Kole Kole Temasek dan Palak Bacha Bawean.
BUFET SEPANJANG OGOS
Bufet berbilang etnik sempena Hari Kebangsaan akan diadakan sepanjang bulan ini dari 1 hingga 31 Ogos 2023.
Bufet '1-for-1' di Permata Singapore ini juga bermula dari $78 untuk dua orang bagi jamuan tengah hari, dari pukul 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang.
Bagi jamuan malam, harganya bermula dari $88 untuk dua orang, dari pukul 6.00 petang hingga 10.00 malam setiap hari.
Kanak-kanak bawah usia lapan tahun makan percuma." by berita.mediacorp.sg
Comments